Sunday, December 16, 2007

..SEMUSIM BERMUKIM..

Gugurnya dedaunan kering
Bergantian pepucuk kehijauan
Ternoktahlah sebuah permulaan
Seninya fitrah putaran alam

Termangu bersendirian
Menilik warna diri
Masih hijaukah ia atau
Telah luntur dimamah waktu

Masih bermukim disini
Buat seketika mungkin
Entahkan bila detik itu akan tiba
Tersingkaplah tabir diri
Lalu detik itu datang mengadap

Sedar diri dalam intaian waktu
Namuan kealpaan terus membelenggu
Dipegun khayalan fana dunia
Detik ,saat dan ketika pantas berlari
Bekalan waktu semakin susut
Kudrat jasadi mula berkurangan

Kuhitung nilaian diri
Ringankah dosa yang dipikul
Beratkah pahala yang digalas
Cukupkah amalan dalam ribaaan
Sudah bersediakah diri…???

Sapaan keinsafan belum menjengah
Diri terus begini
Dalam kelekaan berpanjangan
Namun pintaku hanya satu…
Biarlah berakhirnya musimku
Dikala diri asyik , tenggelam
Lemas dalam cintaMU yang agung...





Jum 14 Dis 2007
8.30 pm

Saturday, December 1, 2007

...KENANGAN...

Atas permintaan k.nisak..:)
Hari terakhir di 'istana' kita



Terukirnya Pertemuan
Bersulamkan kasih-sayang
Bertenunkan kesetiaan
Bertatahkan keikhlasan
Indah sungguh hiasan ukhuwwah ini....

Saturday, November 3, 2007

Thursday, October 18, 2007

SETULUS PERTEMUAN….( JUL- NOV 2007)

Dalam kekalutan diri
Tega melangkah , digagahkan kaki
Lalu bersua denganmu
Pertemuan tidak diundang
Ditaklifkan diri ini berkongsi ilmu denganmu

Dengan serba kekurangan,
Seikhlas hati, setulus sanubari
Kutuangkan secangkir ilmu buat manfaat bersama
Saat itu telah menjadi penawar jiwa
Jiwa yang gundah gulana, resah gelisah,
Lantaran bimbang cita-cita asal akan terkubur
Dan akhirnya,
Segala puji buatNYA yang menganugerahkan laluan itu…..

Benarlah
Hati ini milikNYA, yang maha membolak-balikkan hati
Ketika dikunjungi detik perpisahan
Bukan kegembiraan yang bertandang tapi kepiluan yang bertamu
Sayu hati ini menyambut sebuah perpisahan
Tanpa disedari hati ini telah terikat denganmu

Namun
Apakah daya, cita-cita utuh dimaqamnya
Bertemu dan berpisah keranaNYA
Sesungguhnya pertemuan ini cukup membahagiakan
Menjadi kenangan terindah
Didoakan semoga kita sama-sama menggapai impian
Dalam limpahan MardhiahNYA


"أُحِبُّكُمْ جَمِيْعًا و لَنْ أَنْسَى ذِكْرَيَاتِنَا أَبَدًا"
" تَمْنِيَاتِي الخَالِصَة بالتوفِيق و النّجَاج في الدنْيا والآخرة "




( Khas buat pelajarku, dengan iringan doa moga kejayaan sentiasa menjadi milikmu)



5 Syawal 1428
17 Oktober 2007
11.16 a.m

Saturday, October 6, 2007

.....من طلابي الأحباء......

....BINGKISAN DARI PELAJAR SULUNG.... 27 SEPTEMBER 2007

Tuesday, September 4, 2007

U'ZLAH CINTA

Redup mata hati ini bertafakur
Mengurai sebuah erti
Erti cinta yang Maha Quddus
Setulus hati ingin diserahkan

Di kejauhan
Desiran hidayahMu bergema
Apakah sudi menyapa diri
Terus membatu disini
Dibaluti debu-debu harapan

Di kedinginan malam
Kuuzlahkan diri menghijrahkan hati
Merebahkan taubat dihamparan munajat
Meratapi keterlanjuran silam
Mendamba titisan maghfirahMu
Larut hati ini dalam keabadian cinta
Moga dipayungi mardhiahMu berpanjangan

Ya Rabbi
Jangan Kau labuhkan cintaku
Jangan kau hijabkan rinduku
Ku hanya ingin terus begini
Terus khusyuk dalam ketenangan
Memintal untaian cintaMu
Menukilkan lakaran rinduku

Ya Ilahi
Longgarkanlah belitan duniaMu
Kuatkanlah pautan akhiratMu
Jangan dikhilafkan pertimbanganku
Biarlah hanya cintaMu merajai diri
Menakluki segenap ruang istana hati

Moga diperkenankan permintaan hambaMu yang zalil ini



Jum 31 Ogos 2007
12.29 am

Monday, August 13, 2007

PERLUKAH.....

Lihat pada permukaan kelihatannya terlalu tenang
Pandang pada zahir tampaknya begitu sempurna
Tapi dalam hati yang terpendam kepedihan

Perlukah dikhabarkan apa yang dialami
Perlukah diluahkan apa yang dirasai
Perlukah dikongsi apa yang ditanggungi

Biarlah segalanya tersimpul rapi dalam lubuk hati
Cukuplah hanya padaNYA diberitakan segalanya
Kerana hanya DIA yang mengerti segalanya
Kekuatan diri hanya terletak padaNYA
Masih disini semata keranaNYA

Moga saat kepulangan dalam redhaNYA...


Jumaat, 10 Ogos 2007
7.54 p.m

Friday, August 3, 2007

MENDAYUNG LAUTAN KEHIDUPAN

Suatu waktu,
Bonda telah berpesan,
Dayunglah sampan hingga ke tengah lautan,
Diri ini akur tanpa soal bicara
Rupanya itulah azimat terakhir darinya
Berbekalkan saki baki kekuatan yang masih ada, kutunaikan hasrat itu

Tika memulakan dayungan sangkaku diri ini pasti keseorangan
Sendirian mengemudi sampan
Namun DIA telah anugerahkan seseorang
Punyai matlamat yang satu, sama-sama ingin ke tengah lautan
Dalam kekaburan tanpa pengalaman, berpandukan sedikit petunjuk,
Sampan didayung bertitiskan keringat curiga
Bimbang, apakah itu laluannya


Arus mula berombak, kami tongkahinya bersama,
Badai yang memukul sepakat diharungi
Berpautan sesama sendiri dikala gelombang melanda
Dan pabila lautan itu tenang,
Kami berkongsi kegembiraan
kebahagiaan menghayati keindahan alam
menghirup nyaman bayu lautan lepas

Kita bermula sebagai teman sependayung,
Lalu bertukar menjadi sahabat,
Sahabat yang mengerti apa itu kesusahan kesenangan kejujuran dan kesetiaan
Tanpa disedari, ukhuwwah itu telah mengikat hati
Hati yang bertemu dan berpisah hanya keranaNYA

Tanpa diduga,
Perpisahan terjadi,
Hati berdetak pilu,
Melepaskan dirimu keseorangan meneruskan dayungan itu,
Ku terpaksa berhenti buat seketika
Demi kesamaran sebuah harapan
Namun janjiku diri ini pasti akan kembali
Walaupun ku tahu pasti nanti rentak dayungan kita tidak seirama lagi…

Buat sahabatku “nuraniku83”…sungguh manis ukhuwwah ini..doakan kepulanganku meneruskan perjuangan yang masih bersisa…UKHTI ANTI LI DIFQOTUN MIN HANAN....:)

Monday, July 30, 2007

....USIA....

Semakin bertambah usia diri, semakin berkurang usia kehidupan... semakin singkat pula waktu untuk beramal lantaran detik kematian semakin menghampiri.....



.: SEMOGA SEMAKIN MENGHARGAI DETIK YANG MASIH BERNADI :.


Tuesday, July 17, 2007

SEBUAH PERSIMPANGAN....

Hidup bagai dipersimpangan antara pelbagai pilihan, samaada tepat atau tidak
Yang pasti manusia takkan tahu dan tidak pernah tahu kecuali perlu diharungi terlebih dahulu berbekalkan tawakkal dan doa padaNYA…sekurang-kurangnya telah berjaya membuat keputusan diantara pilihan yang ada….bukan mudah untuk membuat pilihan..kekadang satu keputusan menentukan haluan masa depan, luruskah atau bersimpang-siur….dan pilihan menuntut pengorbanan, tidak mungkin dapat mengendongnya pada satu masa, harus lepaskan salah satu atau terus rebah tersungkur…demi mencapai satu cita-cita perlu korbankan mungkin sepuluh perkara yang lain…


Diibaratkan sedang mendayung sampan ditengah lautan…sampan kesayangan yang begitu cantik, unik ,amat bernilai dan mungkin hanya satu didunia …. namun pabila bertemu dengan kapal terpaksa membuat pilihan....antara kapal dan sampan ...akhirnya kapal menjadi pilihan kerana berpegang pada matlamat asal untuk tiba cepat ditepian…dan dengan penuh keberatan sampan ditinggalkan lalu kapal dinaiki walaupun tidak mustahil kapal itu karam sebelum tiba ditepian…namun hidup ini sebuah harapan….selagi harapan itu berbunga selagi itulah manusia akan terus hidup….dan harapan ini tetap menggunung moga cepat dan selamat tiba ke destinasi……sungguh sukar untuk membuat keputusan ini, moga inilah pilihan yang terbaik….tawakkaltu a’lallah……
al_asyiq
Selasa, 10 Julai 2007

Thursday, June 28, 2007

يا أختاه




Selamat menghayati bait-bait syair diatas


يا أخواتي الأعزاء ، نطلع معا على هذه أبيات الشعر الجميلة

Friday, June 1, 2007

BINGKISAN BUAT BONDA….

Kalbu berbicara sendu
Serumpun rindu di perdu duka
Rindu yang semakin merimbun
Melata di taman hati

Bonda
Ku karang rasa hati ini buatmu
Tanda ingatan kasih tidak pernah padam
Terus marak membakar jiwa
Lewat 17 purnama diriku kau tinggalkan
Bagaikan semalam masih dalam belaianmu

Bonda
Memori bersamamu terus menggamit
Menjerut rohani, meratah emosi
Hati ini bergerimis, melimpahi tasik pandangan
Mengalir deras menuruni lurah wajah
Wajah yang kontang bertambah suram
Betapa nyilunya menerima sebuah realiti

Bonda
Andai waktu bisa kembali
Ingin ku tebus segala kesilapanku
Akan kuhargai setiap detik indah bersamamu
Menghirup kasih sucimu sepenuh hati
Merasai hangat api cintamu
Namun segalanya sudah terlewat
Ku keseorangan kini di payungi bebayang kenangan


Bonda
Kau wanita berhati waja
Selamanya bertakhta dihatiku
Begitu tulus pengorbanan buat anakmu
Dalam sejuta keperitan terlakar ketabahanmu
Lautan deritamu hanya DIA yang mengerti
Betapa agungnya kasih yang kau curahkan
Namun anakmu ini tewas
Kecundang di pasak taqdirNYA
Taqdir telah menempati detiknya
Kau pulang sebelum sempat kuhulurkan
Walau secangkir bakti cuma

Bonda
Tiada apa yang kau tinggalkan buat diri ini
Kecuali telah kau semaikan sebiji benih
Benih yang telah bercambah
Lalu menjadi tunas
Tunas kecintaan, khauf dan roja’ padaNYA
Moga ia akan terus subur menunjangi diri
Bekalan buat pertemuan kita disana

Bonda
Anakmu ini masih disini
Mujahadah demi menunaikan impianmu
Biarpun sunyi tanpa iringan doamu
Ku gagahkan jua diri ini melangkah
Sendirian meredah onak ranjau
Bertemankan azimatmu, penguat semangat
Semoga kejayaan menyusuli nanti

Bonda
Hanya gubahan doa mampu kutitipkan
Dihiasi gemersik alunan kalamNYA
Harapanku moga kau bahagia disana
Menanti detiknya ke syurga abadi
Suatu waktu, kita pasti akan bersatu
Ketika dunia bukan lagi menjadi saksi….


al_asyiq
Jumaat, 1 Jun 2007
10.15 am

( Dedikasi khas buat Bonda tercinta yang telah selamat pulang ke sana pada hari Isnin, 24 Zulkaedah 1426 Hijrah bersamaan 26 Disember 2005….Al-Fatihah)

Friday, May 18, 2007

Wasiat Terakhir Assyahid Sayyid Qutb rahimahullah:


“Apabila kita hanya hidup untuk kita,
hidupnya amatlah singkat,
bermula dari bermulanya kita
dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas.
Tetapi jika kita hidup kerana selain daripada kita,
hidup kerana fikrah,
sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam.
Bermula dari bermulanya manusia di bumi ini,
jika kita merasakan kita yang memulakan perjuangan,
kita akan merasa sempit dada menghadapi kematian
kerana perjuangan yang belum mencapai matlamat.
Ingatlah bukan kita yang memulakannya
dan bukan kita yang mengakhirinya.
Ia dimulakan oleh para Nabi hinggalah ke akhir zaman.
Kita adalah mata rantai
dalam satu perjuangan yang panjang.”



Monday, May 7, 2007

TABIR SEPI


Hembusan bayu mengelus lembut
Mendamaikan jiwa, merangsang nurani
Perasaan ini mula bergetar
Detik itu, sepi melingkari jiwa
Menggigit perasaan
Bertarung di relung sanubari

Suka duka, tawa sendu menjadi satu
Hati ini lemas di kolam rasa
Ujian dan dugaan bertali arus
Mampukah untukku terus merenanginya

Bukan tidak redha, apalagi berputus asa
Namun diri ini lemah, tidak berdaya
Alangkah faqirnya disisi Robbul Jalil
Mengadu di setiap helaan nafas
Merintih di setiap denyutan nadi

Ku hadapkan hati ini padaMU
Ku sembahkan seluruh jiwa raga
Berpaksikan segunung harapan
Bertatahkan kerdipan doa

Dalam kesepian kutemui sinar

Cahaya menyinari kesuraman hati
Lantas kumengerti
Sepi itu indah
Sepi itu bahagia
Sepi itu ketenangan
Anugerah buat yang terpilih

Saat sepi,
Ku masih tega melangkah mengharungi ujian
Tika sepi,
Ku menginsafi hakikat diri
Kealpaan di sebalik ketaatan
Kala sepi
Ku tenun cinta abadi nan syahdu
Penuh khudhu’ bersulamkan kekhusyukan

Dan kini,
Ku menjadi sang pemburu
Memburu sepi yang kian menjauh
Diri ini pastinya bahagia
Selagi sepi mengulit rasa….


al_asyiq
Jumaat, 4 Mei 2007
4.20 pm.


Friday, April 13, 2007

SEBUAH PELAYARAN

Hidup ini sebuah pelayaran
Pelayaran yang harus diteruskan,
Walau hebat gelora melanda,
Walau kuat badai memukul,
Walau keras gelombang menghempas,
Bahtera ini mesti dikemudikan,
Kerana, kitalah nakhodanya
Dalam permusafiran menuju destinasi abadi...

al_asyiq
Jumaat, 13/4/2007

11.28 a.m


Wednesday, April 4, 2007

DIRI

Diri
Terasa seolah kehilanganmu
Terasing dibumimu sendiri

Diri
Tiap detik, tiap ketika
Kau dalam keresahan, gundah-gulana
Apa yang dicari, apa yang didamba
Hanya jawapan bisu yang kau temui

Diri
Bangkitlah
Luputkan segala kepedihan yang membungkam di jiwa
Bangunlah
Tinggalkan kisah luka lara yang membelenggu perasaan


Diri
Sesungguhnya kau tiada duanya
Serlahkan nilai dirimu
Yakinlah kau bukan serpihan kaca, tetapi sebutir permata
Bergemerlapan, bisa membahagiakan insan lain

Diri,
Jangan kau lupakan fitrahmu
Jadilah hamba Tuhan yang sejati
Bersyukur dengan segala anugerahNYA
Pasrah menerima ujian yang melanda
Moga dikau sentiasa dalam redhaNYA….


al_asyiq
Jumaat, 23/3/2007
3.50 p.m

LUKA SEKEPING HATI

Senyuman tanpa makna
Tangisan tanpa airmata
Itulah diriku
Tiada lagi kegembiraan menusuk kalbu
Tiada lagi kesedihan meruntun hati
Tiada lagi kebahagiaan meresap di jiwa

Seluruh rasa telah terkubur
Segenap perasaan telah pergi
Mengiringi kepulangan Bonda ke pangkuan Ilahi
Yang tinggal hanyalah jasad
Jasad yang masih lagi bernyawa
Yang masih perlu teruskan hidup

Akan kuteruskan hidup ini
Akan kuharungi segenap keperitan
Akan kutelan segala kepahitan
Menghitung waktu,
Sehingga diri ini juga dijemput pulang

Ya ALLAH
Jangan biarkan kutewas
Jangan lepaskan kuhanyut
Kurniakan aku kekuatan
Kerana ku tahu cinta haqiqi hanyalah padaMU

al_asyiq
Jumaat, 6/1/06
7.16 p.m

MONOLOG DUKA SEORANG HAMBA

Buat kesekian kalinya
Perasaan ini hadir lagi
Menyentap tangkai naluri
Mencengkam disanubari
Aku tidak keruan…..

Diri ini,
Tidak mampu lagi menahan gelodak jiwa
Badai yang melanda, ombak yang menghempas
Lemas dalam lautan tak bertepi…

Kaki ini,
Tiada kudrat lagi untuk berdiri
Rebah tersungkur dipersimpangan yang tidak pasti

Detik ini,
Segenap penyesalan menyelubungi seluruh jiwa raga
Tiada daya untuk kupujuk……
Hati ini kembali terluka, semakin parah..
Meamancutkan darah dan nanah dosa
Tak kutemui penawar untuk kurawat….

Akhirnya
Mutiara jernih itu gugur jua setelah sekian lama
Membawa bersama runtuhan egoku
Natijah dari kehidupan yang penuh dosa dan noda
Aku pasrah…

Ingin kubersihkan diri ini,
Menyental segala karat dosa dan noda
Kembali seperti dahulu

Di suatu waktu,
Ketika perjanjian tidak dimungkiri
Ketika kesetiaan tidak dikhianati

Setia
Setia menagih serpihan CintaMu
Setia merayu secangkir KasihMu
Setia menadah setitis HidayahMu
Setia mengemis secebis RedhaMu
Dan Kau anugerahkan daku
Ketenangan, keasyikan jiwa
Menganyam kuntum kebahagiaan haqiqi…

Namun kini
Segalanya menjadi sejarah
Yang tinggal hanyalah secarik harapan
Harapan yang belum luntur

Ya Rabbi
Andai masih ada sisa simpati buat diri ini
Kurniakan daku sedikit kekuatan
Agar aku bisa mengais saki-baki keampunanMu
Dalam permusafiran yang entah bila penghujungnya….



al_asyiq
Jumaat, 8/4/2005
12.32 a.m