Sunday, September 7, 2008

..DAN KESAKITAN ITU BERGANDA..

Angin menderu, membawa desiran sayu
Hati terasa kosong, jiwa ketandusan
Lantaran penghuni singgahsana istana hati telah tiada
Raja dan Ratu hati ini telah pergi
Satu pemergian abadi….

Masih kuatkah hati ini
Masih kentalkah jiwa ini
Masih gagahkah kaki ini untuk berdiri
Jika dulu hanya Ratu yang pergi
Kini Raja pula mengikuti
Dan kesakitan itu berganda

Kelu lidah untuk bertutur
Hilang segala rasa, lenyap semua perasaan
Sekadar bertemankan secebis kenangan
Memori yang sentiasa menguasai ingatan
Tidak sekali kan luput
Kaulah permata hatiku dunia akhirat

Hari-hari yang kulalui penuh hambar
Hanya setitis Iman, secangkir hidayah memandu diri
Anugerah yang Esa untuk kuteruskan kehidupan ini
Ya Ilahi, seluruh jiwa ragaku hanya untukMU
Kurniakanlah daku kekuatan, ketabahan
Biarlah zahirnya singgahsana itu bersawang
Namun yang pasti Raja dah Ratu hatiku tetap bersemadi dijiwa

Duhai Ayahanda , Duhai Bonda
Sungguh kurinduimu, kucintaimu, kusayangimu
Terimalah kiriman doaku setiap nafasku
Damailah dirimu disana dalam dakapan Ilahi
Kita pastikan ketemu lagi



Alfatihah buat Bonda yang telah mengadap Ilahi pada 26 Dis 2005 diikuti
Ayahanda pada 14 Julai 2008..

Tuesday, January 15, 2008

...HIJRAH 1429...

Semalam yang telah dilalui sebuah memori,
Hari ini yang diharungi sebuah realiti,
Esok yang bakal diredahi sebuah impian..

Akan menjadi kenyataankah sebuah impian
Andainya memori masih membelenggu dalam kesamaran sebuah realiti…

Bagaimanakah bisa memastikan realiti menguasai memori dan impian mengatasi realiti


Semoga
keutuhan azam,
Kejituan tekad,
Kegigihan usaha,
Keikhlasan niat,
Ketulusan peribadi,
Ketelusan hubungan

Akan membuahkan hasil dalam perjuangan menggapai CITA-CITA dinaungi CINTA QUDDUS

HIJRAH HATI kunci segala hijrah....hijrahkan ia sebelum HIJRAH HAQIQI datang menjemput.


تنظيم الوقت و إلزامه
فتوكّل على الله



Petang yang damai,
6.45 p.m
4 Muharram 1429

Sunday, December 16, 2007

..SEMUSIM BERMUKIM..

Gugurnya dedaunan kering
Bergantian pepucuk kehijauan
Ternoktahlah sebuah permulaan
Seninya fitrah putaran alam

Termangu bersendirian
Menilik warna diri
Masih hijaukah ia atau
Telah luntur dimamah waktu

Masih bermukim disini
Buat seketika mungkin
Entahkan bila detik itu akan tiba
Tersingkaplah tabir diri
Lalu detik itu datang mengadap

Sedar diri dalam intaian waktu
Namuan kealpaan terus membelenggu
Dipegun khayalan fana dunia
Detik ,saat dan ketika pantas berlari
Bekalan waktu semakin susut
Kudrat jasadi mula berkurangan

Kuhitung nilaian diri
Ringankah dosa yang dipikul
Beratkah pahala yang digalas
Cukupkah amalan dalam ribaaan
Sudah bersediakah diri…???

Sapaan keinsafan belum menjengah
Diri terus begini
Dalam kelekaan berpanjangan
Namun pintaku hanya satu…
Biarlah berakhirnya musimku
Dikala diri asyik , tenggelam
Lemas dalam cintaMU yang agung...





Jum 14 Dis 2007
8.30 pm

Saturday, December 1, 2007

...KENANGAN...

Atas permintaan k.nisak..:)
Hari terakhir di 'istana' kita



Terukirnya Pertemuan
Bersulamkan kasih-sayang
Bertenunkan kesetiaan
Bertatahkan keikhlasan
Indah sungguh hiasan ukhuwwah ini....