Friday, April 13, 2007

SEBUAH PELAYARAN

Hidup ini sebuah pelayaran
Pelayaran yang harus diteruskan,
Walau hebat gelora melanda,
Walau kuat badai memukul,
Walau keras gelombang menghempas,
Bahtera ini mesti dikemudikan,
Kerana, kitalah nakhodanya
Dalam permusafiran menuju destinasi abadi...

al_asyiq
Jumaat, 13/4/2007

11.28 a.m


Wednesday, April 4, 2007

DIRI

Diri
Terasa seolah kehilanganmu
Terasing dibumimu sendiri

Diri
Tiap detik, tiap ketika
Kau dalam keresahan, gundah-gulana
Apa yang dicari, apa yang didamba
Hanya jawapan bisu yang kau temui

Diri
Bangkitlah
Luputkan segala kepedihan yang membungkam di jiwa
Bangunlah
Tinggalkan kisah luka lara yang membelenggu perasaan


Diri
Sesungguhnya kau tiada duanya
Serlahkan nilai dirimu
Yakinlah kau bukan serpihan kaca, tetapi sebutir permata
Bergemerlapan, bisa membahagiakan insan lain

Diri,
Jangan kau lupakan fitrahmu
Jadilah hamba Tuhan yang sejati
Bersyukur dengan segala anugerahNYA
Pasrah menerima ujian yang melanda
Moga dikau sentiasa dalam redhaNYA….


al_asyiq
Jumaat, 23/3/2007
3.50 p.m

LUKA SEKEPING HATI

Senyuman tanpa makna
Tangisan tanpa airmata
Itulah diriku
Tiada lagi kegembiraan menusuk kalbu
Tiada lagi kesedihan meruntun hati
Tiada lagi kebahagiaan meresap di jiwa

Seluruh rasa telah terkubur
Segenap perasaan telah pergi
Mengiringi kepulangan Bonda ke pangkuan Ilahi
Yang tinggal hanyalah jasad
Jasad yang masih lagi bernyawa
Yang masih perlu teruskan hidup

Akan kuteruskan hidup ini
Akan kuharungi segenap keperitan
Akan kutelan segala kepahitan
Menghitung waktu,
Sehingga diri ini juga dijemput pulang

Ya ALLAH
Jangan biarkan kutewas
Jangan lepaskan kuhanyut
Kurniakan aku kekuatan
Kerana ku tahu cinta haqiqi hanyalah padaMU

al_asyiq
Jumaat, 6/1/06
7.16 p.m

MONOLOG DUKA SEORANG HAMBA

Buat kesekian kalinya
Perasaan ini hadir lagi
Menyentap tangkai naluri
Mencengkam disanubari
Aku tidak keruan…..

Diri ini,
Tidak mampu lagi menahan gelodak jiwa
Badai yang melanda, ombak yang menghempas
Lemas dalam lautan tak bertepi…

Kaki ini,
Tiada kudrat lagi untuk berdiri
Rebah tersungkur dipersimpangan yang tidak pasti

Detik ini,
Segenap penyesalan menyelubungi seluruh jiwa raga
Tiada daya untuk kupujuk……
Hati ini kembali terluka, semakin parah..
Meamancutkan darah dan nanah dosa
Tak kutemui penawar untuk kurawat….

Akhirnya
Mutiara jernih itu gugur jua setelah sekian lama
Membawa bersama runtuhan egoku
Natijah dari kehidupan yang penuh dosa dan noda
Aku pasrah…

Ingin kubersihkan diri ini,
Menyental segala karat dosa dan noda
Kembali seperti dahulu

Di suatu waktu,
Ketika perjanjian tidak dimungkiri
Ketika kesetiaan tidak dikhianati

Setia
Setia menagih serpihan CintaMu
Setia merayu secangkir KasihMu
Setia menadah setitis HidayahMu
Setia mengemis secebis RedhaMu
Dan Kau anugerahkan daku
Ketenangan, keasyikan jiwa
Menganyam kuntum kebahagiaan haqiqi…

Namun kini
Segalanya menjadi sejarah
Yang tinggal hanyalah secarik harapan
Harapan yang belum luntur

Ya Rabbi
Andai masih ada sisa simpati buat diri ini
Kurniakan daku sedikit kekuatan
Agar aku bisa mengais saki-baki keampunanMu
Dalam permusafiran yang entah bila penghujungnya….



al_asyiq
Jumaat, 8/4/2005
12.32 a.m